Manhaj Al-Qur’an

Manhaj Al-Qur’an dalam menetapkan wujud dan keesaan Al-Khaliq



Manhaj al-Qur’an dalam menetapkan wujud al-Khaliq serta keesaan-Nya adalah satu-satunya manhaj yang sejalan dengan fitrah yang lurus dan akal yang sihat. Iaitu dengan mengemukakan bukti-bukti yang benar, yang menjadikan akal mahu menerima dan musuh pun menyerah. Di antara dalil-dalil tersebut adalah:


1. Kepastian

Telah menjadi kepastian, setiap yang baru tentu ada yang mengadakan. Ini adalah sesuatu yang dimaklumi setiap insan melalui fitrah, malahan sehingga kanak-kanak pun mampu merasai dan memiliki fitrah tersebut. Jika seseorang anak dipukul oleh seseorang ketika sedang lalai dan tidak melihatnya, ia pasti akan berkata (atau mencari), “Siapakah yang telah memukulku?” Kalau dikatakan kepadanya, “Tidak ada sesiapa yang memukulmu”, maka akalnya pasti tidak akan dapat dan mahu menerima-nya, iaitu hatinya berasa tidak puas hati. Bagaimana mungkin ada pukulan tanpa ada yang melakukannya. Jika dikatakan kepadanya, “si Fulan yang memukulmu”, maka kemungkinan dia akan menangis atau mungkin akan membalas pukulan yang dilakukan ke atasnya tadi. Kerana itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun yang menciptakan ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?” (At-Thur, 52: 35)

Ini adalah penyangkalan dan bantahan, yang disebutkan oleh Allah dengan shighat istifham inkari (bentuk pertanyaan yang menyangkal), bagi tujuan menjelaskan bahawa hal tersebut adalah merupakan kebenaran yang nyata, yang tidak mungkin lagi diingkari. Mereka berfikir tanpa pencipta yang menciptakan mereka, ataukah mereka menciptakan diri mereka sendiri? Tentu tidak. Kedua hal itu sama-sama batil. Maka tidak ada kemungkinan lain kecuali mereka mempunyai pencipta yang menciptakan mereka iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan tidak ada lagi pencipta yag selain-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada dalam kesesatan yang nyata.” (Luqman, 31: 11)
“Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku berkenaan apa yang kamu sembah selain Allah; perlihatkan kepada-Ku apakah yang telah mereka ciptakan dari bumi ini atau adakah mereka bekerjasama (dengan Allah) dalam (penciptaan) langit? Bawalah kepada-Ku Kitab yang sebelum (al-Quran) ini atau peninggalan dari pengetahuan (orang-orang dahulu), jika kamu adalah orang-orang yang benar".” (Al-Ahqaaf, 46: 4)
“Katakanlah: "Siapakah Tuhan langit dan bumi?" Jawabnya: "Allah." Katakanlah: "Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu dari selain Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudharatan bagi diri mereka sendiri?." Katakanlah: "Adakah sama orang buta dan yang dapat melihat, atau samakah gelap gulita dan terang benderang; apakah mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaan-Nya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?" Katakanlah: "Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”.” (Ar-Ra’d, 13: 16)
“Hai manusia, telah dijadikan suatu perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala apa yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” (Al-Hajj, 22: 73)
”Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatu pun, tetapi mereka sendiri lah (sesembahan itu) yang diciptakan.” (An-Nahl, 16: 20)
“Maka apakah (Allah) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran.”
(An-Nahl, 16: 17)

Dengan jelas dan ayat-ayat cabaran pun turut diajukan melalui dalil yang berulang-ulang, namun tidak seorang pun yang mampu mengaku bahawa dia telah menciptakan sesuatu. Pengakuan atau dakwaan sahaja pun tidak ada, apalagi menetapkan dengan bukti. Dengan itu, ternyata bahawa amat benarlah hanya Allah Pencipta sekalian alam, dan tidak ada sekutu bagi-Nya.

2. Teraturnya semua urusan alam

Teraturnya semua urusan alam, juga kerapiannya adalah bukti paling kuat yang menunjukkan bahawa pengatur alam ini hanyalah Tuhan yang satu, yang tidak bersekutu atau pun berseteru. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, jika ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu.” (Al-Mukminuun, 23: 91)

Tuhan yang hak, yang sebenar-benarnya wajib menjadi pencipta sejati. Jika ada tuhan yang lain di dalam kerajaannya, sudah pasti tuhan itu juga berupaya menciptakan sesuatu. Ketika itu, pasti ia tidak akan rela adanya tuhan lain bersamanya. Bahkan, seandainya ia mampu mengalahkan temannya dan menguasai sendiri kerajaan serta ketuhanan, tentu telah ia lakukan. Apabila ia tidak mampu mengalahkannya, pasti ia akan hanya mengurus kerajaan miliknya. Sebagaimana raja-raja di dunia mengurus kerajaannya sendiri-sendiri. Maka terjadilah perpecahan, sehingga perlunya terjadi salah satu daripada tiga perkara berikut:

  • Salah satunya mampu mengalahkan yang lain dan menguasai alam sendirian.
  • Masing-masing berdiri sendiri dalam kerajaan dan penciptaan, sehingga terjadi pembahagian (kekuasaan).
  • Kedua-duanya berada dalam kekuasaan seorang raja yang bebas dan berhak berbuat apa saja terhadap keduanya. Dengan demikian maka dialah yang menjadi tuhan yang hak, sedangkan yang lain adalah hambanya
Dan secara realitinya, dalam alam ini tidak terjadi pembahagian (kekuasaan) dan ketidak selarasan. Hal ini menunjukkan pengaturnya adalah Satu dan tidak seorang pun menentang-Nya. Dan bahawa Rajanya adalah Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.

3. Tunduk dan Patuh

Tunduknya makhluk-makhluk untuk melaksanakan tugasnya sendiri-sendiri serta mematuhi peranan dan fungsi yang diberikan-Nya. Tidak ada satu pun makhluk yang membangkang dari melaksanakan tugas dan fungsinya di alam semesta ini. Inilah yang dijadikan hujjah oleh Nabi Musa ‘alaihis salam. ketika ditanya Fir’aun:
“Berkata Fir'aun: "Maka siapakah Tuhanmu berdua, hai Musa? Musa berkata: "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada setiap sesuatu bentuk kejadiannya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberinya petunjuk.” (Thoha, 20: 49-50)

Jawaban Musa sungguh tepat dan kukuh “Tuhan Kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada setiap sesuatu bentuk kejadiannya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk.” Maksudnya, Tuhan kami yang telah menciptakan semua makhluk dan memberi masing-masing makhluk suatu ciptaan yang tepat untuknya; mulai dari ukuran, besar atau kecilnya atau sederhana serta seluruh sifatnya yang ada padanya. Kemudian menunjukkan kepada setiap makhluk tersebut akan tugas dan fungsinya. Petunjuk ini adalah hidayah yang sempurna, yang dapat disaksikan oleh setiap makhluk. Jika kita memerhatikan setiap makhluk, pasti kita akan mendapati mereka melaksanakan apa yang menjadi tugasnya. Dengan hakikat dan ciri-ciri tersebut, maka pelbagai manfaat dapat dihasilkan dan berupaya mencegah perkara-perkara yang berbahaya. Sehingga haiwan ternak pun diberikan oleh-Nya sebahagian dari akal yang menjadikannya berupaya melakukan perkara yang bermanfaat baginya dan mengusir bahaya yang mengancamnya, dan juga mampu melakukan tugas-tugas tertentu dalam kehidupan. Ini adalah sebagaimana yang tersebut dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah.” (As-Sajdah, 32: 7)


Jadi, dengan itu ia menunjukkan bahawa yang telah menciptakan semua makhluk dan memberinya sifat penciptaan yang baik, yang mana manusia tidak mampu mengadakannya, juga menunjukkan kepada kemaslahatannya masing-masing adalah Tuhan yang sebenarnya. Mengingkari-Nya adalah mengingkari kewujudan yang paling agung. Dan hal itu merupakan kedangkalan atau kebohongan yang sangat jelas.

Allah memberi semua makhluk dengan segala keperluannya di dunia, kemudian menunjukkan tatacara perjalanan hidupnya. Dan tidak syak lagi jika Dia telah memberi dari setiap jenis makhluknya dengan bentuk dan rupa yang sesuai dengannya. Dia telah memberi setiap lelaki dan perempuan dengan bentuk yang sesuai dengan jenisnya, sama ada dalam pernikahan, perasaan, mahupun unsur sosial. Juga telah memberi setiap anggota tubuh bentuk yang sesuai untuk suatu manfaat yang telah ditentukan-Nya. Semua ini adalah bukti-bukti yang jelas bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Tuhan bagi segala sesuatu, dan Dia berhak disembah, dan bukannya yang lain. “Pada setiap benda terdapat bukti bagi-Nya, yang menunjukkan Bahawa Dia adalah Esa.” Kemudian, tidak diragukan lagi, maksud penetapan rububiyyah Allah atas makhluk-Nya dan keesaannya dalam rububiyah adalah untuk menunjukkan wajibnya menyembah Allah semata-mata, tanpa sekutu bagi-Nya, iaitu Tauhid Uluhiyyah.


Seandainya seseorang mengakui Tauhid rububiyah tetapi tidak mengimani tauhid uluhiyah, atau tidak mahu melaksanakannya, maka ia tidak menjadi muslim dan bukan ahli tauhid, bahkan ia adalah kafir jahid (yang menentang). Dan persoalan inilah yang akan dibahaskan dalam topik yang berikutnya, Insya Allah.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

“Good Looking” dalam Pandangan Islam

Nama Malaikat dan Tugasnya