Pengertian Rabb menurut Umat-umat yang sesat
Pengertian Rabb menurut Umat-umat yang sesat
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”. (Al-A’raaf, 7: 172)
Jadi, mengakui rububiyah Allah dan menerimanya adalah sesuatu yang fitri. Sedangkan syirik adalah unsur yang datang kemudian. Baginda Rasul s.a.w. bersabda:
“Setiap bayi dilahirkan atas dasar fitrah, maka kedua orang tua-nyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Seandainya seorang manusia diasingkan dan dibiarkan fitrahnya, pasti ia akan meng-arah kepada tauhid yang dibawa oleh para rasul, yang disebutkan oleh kitab-kitab suci dan ditujukan oleh alam. Akan tetapi pengaruh bimbingan yang menyimpang dan persekitaran yang berunsurkan tidak mempedulikan wujudnya Tuhan itulah faktor penyebab yang mengubah pandangan si bayi. Dari sanalah seorang anak manusia mengikuti bapa-nya dalam kesesatan dan penyimpangan. Allah berfirman dalam hadis Qudsi:
“Aku ciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan putih bersih, maka syaitan-lah yang memalingkan mereka.” (HR Muslim dan Ahmad)
Maksudnya, memalingkan mereka kepada berhala-berhala dan menjadikan mereka itu sebagai tuhan selain Allah. Maka mereka jatuh dalam kesesatan, keterasingan, perpecahan, dan perbezaan; kerana setiap kelompok memiliki tuhan-nya masing-masing. Ini adalah kerana, ketika mereka berpaling dari Tuhan yang hak, maka mereka akan jatuh ke dalam fikrah mempercayai tuhan-tuhan palsu. Sebagaimana firman Allah:
“Maka (Zat yang demikian) itulah Allah Tuhan kamu yang sebenarnya; maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?” (Yunus, 10: 32)
Kesesatan itu tidak memiliki batas dan tepi. Dan itu pasti terjadi pada diri orang-orang yang berpaling dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman-Nya:
“Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang pelbagai itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa? Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu mengada-adakannya. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf, 12: 39-40)
Dan syirik dalam tauhid rububiyah, iaitu dengan menetapkan adanya dua pencipta yang serupa dalam sifat dan perbuatannya, adalah merupakan sesuatu yang mustahil. Akan tetapi sebahagian kaum musyrikin meyakini bahawa tuhan-tuhan mereka memiliki sebahagian kekuasaan dalam alam semesta ini. Syaitan telah mempermainkan mereka dalam menyembah tuhan-tuhan tersebut, dan syaitan mempermainkan setiap kelompok manusia berdasarkan kemampuan akal mereka.
Ada sekelompok orang yang diajak untuk menyembah orang-orang yang sudah mati dengan jalan membuat patung-patung mereka sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh a.s. Ada pula sekelompok lain yang menghasilkan berhala-berhala dalam bentuk planet-planet. Mereka menganggap planet-planet itu mempunyai pengaruh terhadap alam semesta dan isinya. Maka mereka membinakan rumah-rumah untuknya serta memasang anak kuncinya. Mereka pun berselisih pendapat berkenaan penyembahannya; ada yang menyembah matahari, ada yang menyembah bulan dan ada pula yang menyembah planet-planet lain, sehinggakan mereka membina piramid-piramid, dan setiap planet ada piramidnya sendiri. Ada pula golongan yang menyembah api, iaitu kaum Majusi. Juga ada kaum yang menyembah sapi (lembu), seperti yang ada di India; kelompok yang menyembah malaikat, kelompok yang menyembah pohon-pohon dan batu besar. Juga ada yang menyembah makam atau kuburan yang dianggap keramat.
Semua ini adalah disebabkan kerana mereka menyangkakan dan menggambarkan benda-benda tersebut mempunyai sebahagian dari sifat rububiyah atau ketuhanan. Ada pula yang menganggap berhala-berhala itu mewakili hal-hal yang ghaib. Imam Ibnul Qayyim berpendapat: “Pembuat berhala pada mulanya adalah golongan yang suka berimaginasi dan gemar membayangkan persoalan tuhan yang ghaib, lalu mereka membina patung-patung tertentu berdasarkan bentuk dan rupa yang terlintas di fikiran mereka agar dapat menjadi wakilnya serta mengganti kedudukannya. Jika tidak begitu, maka sesungguhnya setiap orang yang berakal tidak mungkin akan memahat patung dengan tangannya sendiri kemudian meyakini dan menyatakan bahawa patung yang dipahat itu adalah tuhan sembahannya.” (Ighatsatul Lahfan, II, hal. 220)
Begitu pula yang berlaku kepada golongan sesat yang menyembah kuburan, sama ada di era dahulu kala mahupun di zaman ini, mereka menyangka bahawa orang-orang mati itu dapat membantu mereka, dengan beranggapan bahawa mereka berupaya menjadi per-antara (penghubung) di antara mereka dengan Allah dalam membantu memehuni (mencapai) hajat-hajat mereka. Mereka menyatakan:
“Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan Kami kepada Allah sehampir-hampirnya” (Az-Zumar, 39: 3)
“Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: "Mereka itu adalah pemberi syafa'at kepada kami di sisi Allah." Katakanlah: "Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya sama ada di langit dan tidak (pula) dibumi?" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka sekutukan (itu).” (Yunus, 10: 18)
Begitulah hakikatnya sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian kaum musyrikin arab dan Nasrani di mana mereka menganggap tuhan-tuhan mereka adalah anak-anak Allah. Kaum musyrikin arab menganggap malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Orang Nasrani menyembah Isa ‘alaihis salam atas dasar anggapan ia adalah anak lelaki Allah.
Komentar
Posting Komentar