Tauhid Rububiyah

Tauhid Rububiyah

Yaitu mengesakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam segala perbuatan-Nya, dengan meyakini bahawa Dia sendiri yang menciptakan segenap makhluk. Firman-Nya:
“Allah menciptakan setiap sesuatu, dan Dia lah Yang mentadbirkan serta Menguasai segala sesuatu.” (az-Zumar, 39: 62)

Bahawasanya Dia adalah Pemberi Rezeki bagi setiap manusia, binatang dan makhluk lainnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” (Hud, 11: 6)

Dan bahawasanya Dia adalah Penguasa alam dan Pentadbir alam semesta, Dia yang mengangkat dan menurunkan, Dia yang memuliakan dan menghinakan, Mahakuasa atas segala sesuatu. Pengatur pusingan siang dan malam, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala befirman:
”Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu. Engkaulah (Wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.” (Ali Imran, 3: 26-27)

Allah telah menafikan sekutu atau pembantu dalam kekuasaan-Nya. Sebagaimana Dia menafikan adanya sekutu dalam penciptaan dan pemberi rezeki. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepada-Ku apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadanya (yang kamu sembah itu)? (tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang Yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada Dalam kesesatan Yang jelas nyata.” (Luqman, 31: 11)
“Atau siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezeki-Nya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus Dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).” (Al-Mulk, 67: 21)

Allah menyatakan pula tentang ke-Esa-an-Nya dalam rububiyah-Nya atas segala alam semesta. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-Fatihah, 1: 2)
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu ia bersemayam di atas ‘Arasy; ia menutupi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-A’raaf, 7: 54)

Allah menciptakan semua makhluk-Nya di atas fitrah pengakuan terhadap rububiyah-Nya. Bahkan orang-orang musyrik yang menyekutukan Allah dalam ibadah juga mengakui (konsep/bahagian) ke-Esaan rububiyah-Nya.
”Tanyakanlah lagi: “Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai ‘Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab: “(Semuanya) kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” Tanyakanlah lagi: “Siapakah yang memegang Kuasa pemerintahan segala sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyikan daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!” Mereka akan menjawab: “(Segala-galanya) dikuasai Allah”. Katakanlah: “Jika demikian, kenapakah kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?”.” (Al-Mukminun, 23: 86-89)

Dengan itu, tauhid rububiyah ini sememangnya diakui oleh sekalian manusia (secara fitrah). Tidak ada umat mana pun yang menyangkalnya. Bahkan hati manusia sudah difitrahkan untuk mengakui-Nya, melebihi fitrah pengakuan terhadap yang lainnya. Sebagaimana perkataan para rasul yang difirmankan Allah:
“Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa Yang tertentu”. Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.” (Ibrahim, 14: 10)

Adapun orang yang paling terkenal dengan pengingkarannya adalah Fir’aun. Namun demikian di hatinya masih tetap meyakini-Nya. Sebagaimana perkataan Musa a.s. kepadanya:
Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: “Tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku mengira, engkau hai Firaun, akan binasa”.” (Al-Isra’, 17: 102)

Ia juga menceritakan tentang Fir’aun dan kaumnya:
“Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah Bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.” (An-Naml, 27: 14)

Begitu pula orang-orang yang mengingkarinya di zaman ini, seperti komunis dan atheis. Mereka hanya menampakkan keingkaran kerana kesombongannya. Akan tetapi pada hakikatnya, secara diam-diam, batin mereka meyakini bahawa tidak ada satu makhluk pun yang ada tanpa Pencipta, dan tidak ada satu benda pun kecuali ada yang membuatnya, dan tidak ada pengaruh apa pun kecuali pasti ada yang mempengaruhinya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).” (At-Thur, 52: 35-36)

Perhatikan alam semesta ini, sama ada yang di atas mahupun yang di bawah dengan segala bahagian-bahagiannya, kita pasti berupaya mendapati semua itu menunjukkan kepada wujudnya pembuat, Pencipta dan Pemiliknya. Maka, mengingkari dalam akal dan hati terhadap pencipta semua itu, sama keadaannya dengan mengingkari ilmu itu sendiri dan mencampakkannya, yang mana kedua-dua situasi tersebut tiada bezanya.

Adapun pengingkaran adanya Tuhan oleh orang-orang komunis ketika ini hanyalah kerana kesombongan dan penolakan mereka terhadap hasil kajian dan penemuan akal yang sihat. Sesiapa yang memiliki sifat seperti ini maka dia telah membuang akalnya dan mengajak orang lain untuk mentertawakan dirinya.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

10 TIPS Mendidik Anak Rajin Shalat

Pasangan Hidup